Rabu, 11 Disember 2019 | 1:01pm
Anggota APM melaksanakan operasi memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir di sekitar Membakut. - Ihsan APM

Mangsa banjir di Beaufort meningkat

BEAUFORT: Mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Bencana Alam Daerah Beaufort di Kampung Selagon, di sini, mencecah 377 orang daripada 136 keluarga, setakat jam 8 pagi tadi.

Bilangan itu meningkat berbanding 268 mangsa membabitkan 97 keluarga, setakat jam 5 petang semalam.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan, peningkatan mangsa kebanyakannya dari sekitar daerah kecil, Membakut berikutan keadaan banjir di kawasan itu tidak banyak berubah sejak semalam.

Pagi tadi, sebanyak 23 tempat di Membakut dikenal pasti terjejas akibat banjir, meningkat berbanding hanya 19 pada petang semalam, manakala di Beaufort kekal empat kawasan meliputi Kampung Bakalau, Bakalau Simpang Empat, Binunuk dan Balibata.

Di Membakut, tempat dilaporkan dinaiki air ialah Kampung Lumantak, Baitam, Sinoko, Bambangan, Baitam Laut, Baitam Baru, Baitam Ulu, Jambatan Baru, Kampung Baru, Papas, Kayai, Poring dan Pusak.

Selain itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Membakut, Klinik Kesihatan Kampung Sinoko, Kampung Takapan, Mendangin, Pekan Lama Membakut, Kampung Lampijas, Pejabat Daerah Kecil Membakut, Kampung Bawan, Brunei dan Limpayau.

Anggota APM melaksanakan operasi memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir di sekitar Membakut. - Ihsan APM

Setakat pagi tadi, sebanyak 17 laluan juga dikenal pasti masih ditenggelami air di Membakut, sementara di Beaufort kekal satu laluan di Jalan Kampung Bakalau Simpang Empat.

Laluan terjejas di Membakut ialah Jalan Kampung Bambangan, Jalan Kampung Sinoko, Jalan Kampung Pusak, Jalan Kampung Poring, Jalan Kampung Baitam, Baitam Laut dan Baitam Ulu, Jalan Kampung Jambatan Baru, Jalan Kampung Kayai, Jalan Kampung Baru dan Jalan Kampung Papas.

Seterusnya, Jalan Pekan Lama Membakut, Jalan Kampung Mendangin, Jalan Pejabat Daerah Kecil, Jalan Bandau, Jalan Kampung Brunei dan Jalan Kampung Limpayau.

Banjir di Beaufort dan Membakut turut menjejaskan perkhidmatan kereta api bagi laluan Kota Kinabalu-Membakut-Beaufort berikutan keadaan landasan di beberapa lokasi yang dinaiki air, sejak awal pagi semalam.

Difahamkan, perkhidmatan kereta api bagi laluan berkenaan hanya sampai di Stesen Bongawan sejak semalam.

Berita Harian X