Rabu, 11 Disember 2019 | 10:54am
Seorang nelayan dari Kuala Muda, Penaga, di Kepala Batas, dikhuatiri lemas apabila dilaporkan tercampak ke laut selepas keluar merawai ikan tenggiri di sekitar perairan Teluk Bahang, malam tadi. - Foto hiasan
Seorang nelayan dari Kuala Muda, Penaga, di Kepala Batas, dikhuatiri lemas apabila dilaporkan tercampak ke laut selepas keluar merawai ikan tenggiri di sekitar perairan Teluk Bahang, malam tadi. - Foto hiasan

Nelayan terjatuh ke laut dikhuatiri lemas

KEPALA BATAS: Seorang nelayan dari Kuala Muda, Penaga, di sini, dikhuatiri lemas apabila dilaporkan tercampak ke laut selepas keluar merawai ikan tenggiri di sekitar perairan Teluk Bahang, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 malam, Muhamad Redzuwan Ahmad Shafie, 21, dilaporkan terjatuh dalam jarak 30 batu nautika dari jeti tempat mangsa keluar dan usaha mencari serta menyelamat (SAR) sedang dilaksanakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa bersama dua lagi nelayan dikatakan keluar dari jeti pada jam 4 petang semalam untuk ke perairan Teluk Bahang yang menjadi lokasi tumpuan ikan tenggiri.

“Bagaimanapun, ketika hendak pulang semula ke jeti Kuala Muda, Penaga, malam tadi, tiba-tiba ombak besar memukul bot dinaiki mereka bertiga menyebabkan dua daripadanya terpelanting ke laut.

“Salah seorang yang terjatuh itu berjaya menyelamatkan diri, namun seorang lagi dilaporkan hilang berikutan tidak tahu berenang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, rakan mangsa dikatakan cuba untuk menyelamatkan mangsa tetapi tidak berhasil.

“Mereka berdua dilaporkan membawa bot berkenaan ke tempat mangsa dilihat terkapai-kapai untuk menyelamatkannya, namun mangsa terus hilang dari pandangan.

“Insiden turut disaksikan dua lagi bot yang berada berdekatan dan menghulurkan bantuan untuk mengesan mangsa, selain memaklumkan kepada rakan nelayan lain mengenai kejadian itu,” katanya.

Berita Harian X