Selasa, 10 Disember 2019 | 10:49pm
NAJIB Razak

Najib tinggikan suara bidas Tommy

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tommy Thomas dan Datuk Seri Najib Razak ‘berbalas kata’ berhubung isu kelulusan permohonan pinjaman RM3.95 bilion oleh SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Najib yang berkali-kali disoal mengenai perkara itu menegaskan bahawa beliau tidak memberikan kelulusan terhadap permohonan itu, sebaliknya ia diberikan oleh Panel Pelaburan KWAP.

Dalam prosiding semalam, Thomas mengemukakan soalan dalam Bahasa Inggeris, bagaimanapun sebahagian besar jawapan diberikan Najib adalah dalam Bahasa Melayu.

Terdahulu, Thomas merujuk kepada Najib dengan surat daripada SRC bertarikh 3 Jun 2011.

Thomas: Dalam surat ini, KWAP memahami nota catitan tangan ‘bersetuju dengan syor’ sebagai menerima kelulusan perdana menteri bagi KWAP menyediakan pinjaman RM3.95 bilion kepada SRC.

Najib: Saya hendak tegaskan bahawa kelulusan mesti daripada Panel Pelaburan, ini undang-undang, ...undang-undang tidak menyatakan perdana menteri beri kelulusan.

Thomas: Tetapi saya katakan bahawa kamu yang meluluskan pinjaman ini?

Najib: Tidak, saya tidak boleh luluskan, kamu baharu sahaja bacakan peruntukan undang-undang (Akta KWAP 2007).. Kamu Peguam Negara mesti tahu undang-undang.

Thomas: Jika kita semua mematuhi undang-undang, kita tidak akan berada di sini hari ini.

Soalan dan balasan oleh Thomas serta Najib itu menyebabkan semua yang berada di mahkamah ketawa.

Berita Harian X