X
Selasa, 10 Disember 2019 | 4:22pm
SAKSI, Adun Kawasan Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi (kanan) hadir pada Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. NSTP/Hafiz Sohaimi
SAKSI, Adun Kawasan Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi (kanan) hadir pada Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. NSTP/Hafiz Sohaimi

'Saya diarah tandatangan akuan bersumpah'

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, beliau diarah menandatangani satu akuan bersumpah bagi cek pembayaran Yayasan Akalbudi untuk menyelesaikan bil kad kredit berjumlah RM805,768.16 milik bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu, Datuk Khairuddin Tarmizi, 55, berkata Ahmad Zahid menyerahkan rekod bil kad kredit sekitar 2014 dan 2015 untuk diselesaikan dengan pihak bank.

Saksi ke-15 itu berkata, akuan bersumpah itu diserahkan kepadanya oleh peguam dikenali sebagai Murali (Muralidharan) untuk ditandatangani di restoran mamak dekat Menara UOA, Jalan Bangsar, di sini, pada 20 April 2017.

“Saya fikir wang dalam akaun yayasan ini boleh digunakan untuk membayar bil Ahmad Zahid.

“Ini berikutan sejumlah besar dana ada dalam akaun yayasan adalah wang peribadi disalurkan olehnya.

“Sejurus menyedari ini satu kesilapan, saya meminta Ahmad Zahid memulangkan wang itu dan difahamkan beliau sudah memulangkan dana milik yayasan ini,” katanya ketika membaca penyataan saksi pada hari ke-10 perbicaraan kes Ahmad Zahid membabitkan 47 tuduhan termasuk 12 dakwaan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 pengubahan wang haram berkaitan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Terdahulu, pada prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, Perak, berkata tiga perenggan dalam akuan bersumpah ditandatanganinya pada 2017 itu berhubung pembayaran balik dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM805,768.16 oleh Ahmad Zahid adalah tidak benar.

Akuan bersumpah itu dibangkitkan Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran ketika sesi soalan tambahan.

Tiga perenggan dalam akuan bersumpah dimaksudkan saksi itu ditulis dalam bahasa Inggeris.

Raja Rozela: Berdasarkan para keempat akuan bersumpah, adakah anda menerima sebarang bil kad kredit daripada Ahmad Zahid untuk dibayar?

Khairuddin: Tidak ada.

Raja Rozela: Berdasarkan perenggan kelima akuan bersumpah, adakah anda guna mana-mana cek atau dana Yayasan Akalbudi untuk membayar kad kredit bagi pihak Ahmad Zahid?

Khairuddin: Tidak ada.

Raja Rozela: Berdasarkan perenggan keenam, pernahkah anda meminta Ahmad Zahid memulangkan semula duit yayasan digunakan?

Khairuddin: Tidak ada.

Raja Rozela: Berdasarkan jawapan anda berkaitan perenggan keempat, kelima dan keenam, adakah kandungan akuan bersumpah ini benar?

Khairuddin: Tidak benar.

Menjawab soalan Raja Rozela pada prosiding sama, saksi itu mengesahkan dirinya tidak menulis akuan bersumpah disediakan itu, sebaliknya hanya menandatanganinya saja.

“Saya hanya menandatangani akuan bersumpah disediakan peguam dikenali sebagai Murali yang saya kenali dari firma Messrs Lewis & Co sebab pernah datang ke beberapa program di Bagan Datuk.

“Bagaimanapun, saya tidak tahu Murali peguam yang mewakili siapa,” katanya.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari tahun ini, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 66, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perbicaraan bersambung esok.

Berita Harian X