Isnin, 9 Disember 2019 | 5:28pm
IBU Pejabat Bukit Aman. - Foto Asyraf Hamzah

Muhammed Yusoff beri keterangan 7 jam

KUALA LUMPUR: Selepas tujuh jam berlalu, Muhammed Yusoff Rawther akhirnya selesai memberi keterangan di Bukit Aman malam ini bagi membantu siasatan dakwaan perlakuan tidak senonoh terhadapnya oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keterangan itu dirakam pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) bermula jam 2 petang tadi.

Peguam mewakili Muhammed Yusoff, Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla, berkata pihaknya sudah memberi kerjasama yang terbaik dalam siasatan kes berkenaan.

“Polis sudah ambil keterangan untuk mulakan siasatan. Sama ada Muhammed Yusoff akan dipanggil lagi esok atau lusa sama-sama kita tunggu dan lihat.

“Selepas daripada ini, jika polis memerlukan sebarang maklumat lanjut mereka akan hubungi saya atau Muhammed Yusoff untuk tujuan berkenaan.

“Mengenai ancaman keselamatan, setakat ini kita tidak menerima sebarang ugutan namun perlu sentiasa berada dalam keadaan berwaspada,” katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Sementara itu, Muhammed Yusoff yakin ibu bapa dan adik beradiknya memberi sokongan penuh ketika dia menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan ketika ini.

“Keluarga sudah mengeluarkan kenyataan menyokong saya dalam hal ini.

“Saya berharap pihak tertentu yang tidak ada kena mengena dengan saya supaya tidak terbabit dalam perkara ini,” katanya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi pula berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan kita akan melihat keperluan untuk memanggil semula Muhammed Yusoff selepas siasatan dibuat,” katanya.

Kelmarin, Muhammed Yusoff yang membuat akuan bersumpah berhubung dakwaan perlakuan tidak senonoh Presiden PKR itu, membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini.

Laporan itu bagi mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Anwar berhubung akuan bersumpah yang dibuatnya itu.

Khamis lalu, Anwar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Muhammed Yusoff yang kononnya diperlakukan secara tidak senonoh oleh beliau pada 2 Oktober tahun lalu dan menyifatkannya sebagai fitnah tidak berasas.

Berita Harian X