Isnin, 9 Disember 2019 | 5:13pm
BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Yayasan Akalbudi bayar RM107, 509.55 untuk 20 kenderaan - Ahmad Izhan

KUALA LUMPUR: Yayasan Akalbudi mengeluarkan tiga cek berjumlah RM107,509.55 bagi membayar 20 polisi dan cukai kenderaan yang didaftarkan atas nama bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan keluarganya pada 2015.

Tiga cek Affin Bank itu masing-masing berjumlah RM 24,980; RM 43,645 dan RM 38,884 bertarikh antara Januari 2015 hingga September 2015.

Perkara itu dimaklumkan oleh ejen insurans syarikat Allianz General Insurance, Ahmad Izhan Abd Rashid, kepada Mahkamah Tinggi ketika membaca penyataan saksi pada hari ketujuh perbicaraan kes Ahmad Zahid.

Ahmad Izahan, 40, selaku saksi ke-14 pendakwaan, berkata cek itu ditulis atas namanya bagi mendepositkan cek itu dan mengeluarkan sejumlah wang untuk tujuan pembayaran cukai jalan kenderaan dibuat secara tunai kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Tiga cek Affin Bank milik Yayasan Akalbudi berjumlah RM107, 509.55 itu daripada pembantu peribadi Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan.

“Sebagai ejen, saya akan mengeluarkan sejumlah wang untuk dimasukkan ke dalam akaun semasa milik syarikat Maya Consultant Services (syarikatnya), bagi tujuan pembayaran premium insurans kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membacakan penyataan saksi dalam prosiding itu di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Ahmad Izhan berkata, setiap kali selepas memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan kenderaan, beliau akan ke rumah Ahmad Zahid di Country Heights, Kajang, bagi menyerahkan semula dokumen yang diperbaharui itu kepada pekerja atau pembantu rumahnya.

“Nilai premium insurans perlu dibayar di dalam polisi insurans adalah berbeza dengan nilai premium insurans dibayar oleh saya kepada Allianz General Insurance.

“Jumlah dibayar kepada Allianz General Insurance seperti di dalam resit rasmi Allianz General Insurance Company adalah selepas ditolak komisyen sepatutnya diterima saya,” katanya.

Saksi itu berkata, Ahmad Zahid mengambil 39 polisi insurans kenderaan dengannya bagi 20 kenderaan termasuk 18 kenderaan mewah.

Antaranya adalah BMW X5, Mini Cooper S, BMW 320i (A), Mercedes Benz CLS350 dan motosikal BMW R1200 GS serta Harley Davidson.

Katanya, cara pembayaran komisyen itu dipersetujui oleh pihak syarikat Allianz General Insurance dan ejen menerima komisyen 10 peratus daripada jumlah premium insurans dibayar pelanggan.

Sementara itu, dalam prosiding pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt, saksi itu turut memberitahu beliau maklum mengenai ‘presigned cek’ (berkenaan cek ditandatangani lebih awal oleh Ahmad Zahid).

Keng Fatt : Bagaimana anda tahu?

Ahmad Izhan : Mejar Mazlina ada beritahu untuk mempercepatkan urusan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid akan tandatangan cek terlebih dulu.

Keng Fatt : Boleh jelaskan apa yang anda maksudkan dengan kemudahan?

Ahmad Izhan : Pada pengetahuan saya, khusus bagi insurans kemudahan bermaksud pembayaran insurans perlu dilakukan segera. Ini bagi memastikan cukai jalan tidak tamat selain perlu kejar masa.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018, serta 20 Februari tahun ini Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini membabitkan 47 tuduhan termasuk 12 dakwaan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 pengubahan wang haram berkaitan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 66, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perbicaraan bersambung esok.

Berita Harian X