Isnin, 9 Disember 2019 | 3:38pm
IBU kanak-kanak lelaki yang dipercayai terpisah daripada keluarganya ketika berkelah di Teluk Batik, Lumut mengambil anaknya di Balai Polis Seri Manjung selepas dihantar orang awam yang menemuinya. - Foto ihsan pembaca

'Seolah-olah separuh nyawa melayang'

IPOH: “Seolah-olah separuh nyawa saya melayang sebaik saja menyedari Ayat hilang dan ia pengalaman yang sangat menakutkan.”

Perasaan itu dikongsikan ibu kepada Mohd Hidayatullah Ahmad, 8, atau nama timangannya Ayat yang ditemui orang awam selepas terpisah dengan keluarga ketika berkelah di Teluk Batik, Lumut, semalam.

Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Nora, 46, berkata kejadian berlaku ketika mereka berkelah di pantai terbabit bersama keluarga rakannya dengan menaiki sebuah kereta.

Katanya, selepas bermandi-manda, Mohd Hidayatullah yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik dan kakak ke tandas, sementara beliau pula menjaga barang di tempat perkelahan.

“Mereka masuk tandas berasingan. Selepas habis mandi, Ayat tidak melihat kakaknya di depan tandas. Ketika itu, kakaknya berada di dalam tandas lagi.

“Selepas itu, kakaknya pula menunggu kerana menyangka Ayat masih berada di dalam tandas. Namun apabila mendapati Ayat tidak keluar, kakaknya terus berjumpa saya untuk bertanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nora tidak menolak kemungkinan Mohd Hidayatullah panik serta menyangkakan dirinya tertinggal, sedangkan ia hanya salah faham dan mereka masih mencari kanak-kanak itu di sekitar kawasan pantai berkenaan.

“Perasaan saya ketika itu hanya Allah SWT yang tahu. Rasa lemah badan tetapi dikuatkan juga kaki berjalan sambil menahan air mata mencari Ayat.

“Lebih dua jam kami mencari, bertanya kepada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, membuat pengumuman orang hilang dan mencari di kawasan parkir sebelum polis menelefon untuk memaklumkan Ayat sudah berada di balai,” katanya yang tinggal di Kampung Gajah.

Justeru, beliau berterima kasih kepada pihak yang membantu dan orang ramai yang mendoakan keselamatan anaknya itu.

“Kejadian itu adalah pengajaran buat saya dan ibu bapa lain supaya lebih berhati-hati,” katanya.

Sebelum itu, usaha mengesan keluarga kanak-kanak berkenaan tular dalam media sosial sejak petang semalam dan menerima pelbagai reaksi warganet.

Media melaporkan Abdul Halim Sidi, 30, membantu Mohd Hidayatullah yang ditemui berjalan seorang diri dalam keadaan takut sebelum menghantar kanak-kanak itu ke Balai Polis Seri Manjung untuk bantuan lanjut.

Berita Harian X