Ahad, 8 Disember 2019 | 11:51pm
TULAR kejadian kebakaran di sebuah kilang di Tanjung Langsat, Pasir Gudang. - Tular Media Sosial
TULAR kejadian kebakaran di sebuah kilang di Tanjung Langsat, Pasir Gudang. - Tular Media Sosial

12 pekerja kilang kimia melecur

PASIR GUDANG: Seramai 12 pekerja penyelenggaraan sebuah kilang kimia di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, cedera apabila premis kilang itu terbakar dalam kejadian pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.21 pagi itu, dipercayai kesemua pekerja terbabit sedang menyelenggara sebuah tong sebatian kimia sebelum ia tiba-tiba meletup lalu terbakar.

bagaimanapun, kata Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah, kebakaran berkenaan berjaya dikawal sepenuhnya oleh unit kebakaran dalaman kilang berkenaan.

“Akibat kejadian itu, 12 pekerja berkenaan melecur di bahagian badan dengan dua daripadanya dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, manakala empat lagi di Hospital Penawar, di sini.

“Enam lagi dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Penawar Pasir Gudang,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahya Madis, berkata tindakan pemadaman dilakukan pihak Pasukan Respons Kecemasan (ERT) kilang tanpa menghubungi bomba.

“Untuk makluman, yang terbakar adalah tong solvent di luar kilang dan tidak membabitkan struktur kilang,” katanya.

Berita Harian X