Ahad, 8 Disember 2019 | 6:29pm
KEMALANGAN jalan raya di Kaikoura, New Zealand.
KEMALANGAN jalan raya di Kaikoura, New Zealand.

Seorang lagi mangsa kemalangan di New Zealand meninggal dunia

KOTA KINABALU: Seorang lagi mangsa kemalangan di Kaikoura, New Zealand disahkan meninggal dunia pada 6.30 petang waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Malaysia) hari ini.

Nur Irfan Adanan, 15, yang juga anak sulung kepada pasangan suami isteri, Dr Rumihati Abd Hamid, 49, dan Adanan Jemain, 49, yang maut bersama anak kedua mereka, Maisarah Arifah Adanan, 13, dalam kejadian terbabit pada Jumaat lalu.

Perkara itu disahkan oleh anak saudara Allahyarham Dr Rumihati, Afifah Saiffuddin, 33, yang menerima berita itu daripada ahli keluarganya yang kini berada di Hospital Christchurch, New Zealand.

“Kami tahu mengenai kematian Nur Irfan daripada bapa saudara yang kini berada di Christchurch, tengah hari tadi,” kata Afifah.

Afifah yang juga sepupu kepada Irfan, 15, berkata bapa saudaranya, Othman Abd Hamid memaklumkan kepada mereka menerusi WhatsApp kira-kira jam 1.30 tengah hari.

“Selepas menerima mesej itu, saya menghubungi bapa saudara untuk kepastian,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga mereka di Kampung Ulu Putatan, dekat sini, hari ini.

Kematian Irfan yang juga mangsa kemalangan jalan raya di Kaikoura, New Zealand, pada Jumaat lalu, sekali gus menjadikan jumlah kematian kemalangan kepada empat orang.

Selain Irfan yang dalam percutian ke New Zealand sejak 2 Disember lalu, ibunya Dr Rumihati Abd Hamid, 49, pakar perubatan di Klinik Kesihatan Putatan dan bapanya, Adanan @ Adnan Jeman, 49, meninggal dalam kemalangan jalan raya di Kaikoura, New Zealand.

AFIFAH Saiffuddin ketika ditemui di kediaman keluarga mereka di Kampung Ulu Putatan, Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah
AFIFAH Saiffuddin ketika ditemui di kediaman keluarga mereka di Kampung Ulu Putatan, Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

Turut meninggal pada hari kejadian ialah adik keduanya, Nuraleeyah Maisarah Arifah, 13, manakala anak bongsu pasangan itu yang berusia 11 tahun, dilaporkan stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Wellington.

Afifah yang juga menjadi jurucakap keluarga berkenaan berkata, bapa saudaranya bersama keluarga lain di Christchurch sempat bertemu dengan Irfan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

“Pakcik Othman bersama ahli keluarga lain tiba di Christchurch pagi tadi waktu Malaysia (kira-kira jam 5.40 pagi) dan terus ke hospital. Ketika sampai di hospital, Irfan masih bernafas tapi tidak sedar,” katanya.

Mengulas lanjut, Afifah berkata keluarga yang kini berada di Christchurch juga dalam proses untuk mendapat kelulusan bagi urusan pengebumian empat beranak itu di negara berkenaan.

“Pakcik (Othman) memaklumkan pihaknya masih menunggu kelulusan daripada konsulat (Christchurch) untuk membenarkan ibu saudara, suami dan dua anaknya dikebumikan di sana.

“Pengurusan jenazah kini sedang dilakukan dan kami menjangkakan paling awal esok pagi mereka akan dikebumikan,” katanya.

Pada Jumaat, dilaporkan tiga rakyat Malaysia meninggal dunia manakala dua lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan maut ketika keluarga berkenaan bercuti di negara berkenaan.

Mereka sekeluarga yang sedang bercuti menaiki kereta sewa sebelum terbabit kemalangan dengan lori di Lebuhraya Negeri 1, Kaikoura, 3.10 petang Jumaat waktu tempatan (8.10 malam waktu Malaysia).

Berita Harian X