Sabtu, 7 Disember 2019 | 8:04pm

Adik sediakan borang kesihatan, sebab dia mahu cuti

PUTATAN: “Lazimnya kami yang akan mengambil borang daripada adik di rumahnya jika mahu melakukan pemeriksaan kesihatan, tetapi kali ini dia yang bawa borang itu ke rumah,” kata kakak kelima Dr Rumihati Abd Hamid.

Zaiton, 61, yang juga suri rumah itu berkata walaupun bukan perkara ganjil, ia bukan kebiasaannya.

“Beberapa hari sebelum berjalan ke New Zealand, dia bersama tiga anaknya datang ke rumah dan atur borang kami, dengan alasan dia mahu cuti.

“Dia sempat berpesan, memaklumkan kepada abang (abang sulung) supaya periksa darah,” katanya yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di rumah keluarga di Kampung Ulu Putatan di sini, hari ini.

Dalam percutian ke New Zealand sejak 2 Disember lalu, Dr Rumihati, 49, pakar perubatan di Klinik Kesihatan Putatan dan suaminya, Adanan @ Adnan Jeman, 49, dilaporkan meninggal dalam kemalangan jalan raya di Kaikoura, New Zealand, semalam.

Wisma Putra, ketika dihubungi BERNAMA, semalam mengesahkan tiga rakyat Malaysia maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan jalan raya di Kaikoura, New Zealand.

Sehubungan itu, dan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand sedang mendapatkan maklumat mangsa yang terbabit.

Sementara itu, portal Polis New Zealand melaporkan tiga individu meninggal dunia akibat kemalangan yang membabitkan kereta dan trak pada jam 3.10 pagi, waktu tempatan.

Laporan itu menyatakan, seorang individu mengalami kecederaan kritikal manakala tiga yang lain mengalami kecederaan sederhana dan serius.

Zaiton berkata memang menjadi kebiasaan adiknya bersama keluarga bercuti ke luar negara setiap hujung tahun.

“Saya juga pernah dibawa sekali bercuti sebelum ini seperti di Jepun dan Beijing. Dia amat manja dan cepat merajuk..dialah doktor dan adik kami yang paling kami sayang,” katanya.

Zaiton berkata, selepas mendapat panggilan dari Wisma Putra petang semalam, beliau sudah berasa tidak senang hati.

“Ada wakil dari Wisma Putra menghubungi saya dan bertanya siapa yang pandai berbahasa Inggeris. Saya kemudian beri nombor telefon abang sulung kami, Othman Abd Hamid.

“Saya ingatkan kemalangan saja dan bukan apa-apa, sekali abang saya cakap ada yang meninggal dua orang. Selepas itu, pagi tadi ada sepupu datang dan maklumkan ada anak mereka meninggal (daripada berita).

“Saya tidak tahu mana satu anak (yang dilaporkan meninggal)..bagaimanapun, kami masih menunggu laporan penuh daripada abang yang dijangka tiba di Christchurch pagi esok,” katanya sambil menambah tiga anak adiknya berusia antara 11 hingga 15 tahun.

Sementara itu, tinjauan BH mendapati kediaman keluarga mangsa di Kampung Ulu Putatan, diselubungi suasana sedih dengan saudara mara kelihatan datang melawat.

Difahamkan, sejak pagi tadi beberapa rakan kerja serta saudara mara dari jauh dan dekat datang melawat selepas mendengar perkhabaran mengenai tragedi itu.

Zaiton ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Ulu Putatan. - NSTP/Edmund Samunting
Zaiton ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Ulu Putatan. - NSTP/Edmund Samunting
Berita Harian X