Sabtu, 7 Disember 2019 | 5:17pm
KEMALANGAN yang membabitkan rakyat Malaysia di jalan raya di Kaikoura, New Zealand.

Keluarga mahu kebumi mangsa di Christchurch

KOTA KINABALU: “Kami masih menunggu berita dari pihak sana mengenai keadaan sebenar,” kata Othman Abd Hamid iaitu abang sulung kepada Dr Rumihati Abd Hamid, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Kaikoura, New Zealand.

Ketika dihubungi, Othman yang juga pesara RTM, berkata beliau bersama beberapa ahli keluarga kini di Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke New Zealand malam ini.

Dalam percutian ke New Zealand sejak 2 Disember lalu, Dr Rumihati, pakar perubatan di Klinik Kesihatan Putatan dan suaminya, Adanan @ Adnan Jeman, 49, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Kaikoura, New Zealand, semalam.

Wisma Putra, ketika dihubungi BERNAMA mengesahkan kejadian itu dan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand sedang mendapatkan maklumat mangsa yang terbabit.

Sementara itu, portal Polis New Zealand melaporkan tiga individu meninggal dunia akibat kemalangan yang membabitkan kereta dan trak pada jam 3.10 pagi, waktu tempatan.

Laporan itu menyatakan, seorang individu mengalami kecederaan kritikal manakala tiga yang lain mengalami kecederaan sederhana dan serius.

Mengenai keadaan tiga anak perempuan mangsa, Othman yang masih menunggu panggilan daripada polis New Zealand, berkata mereka sendiri termasuk ahli keluarga di Sabah, tidak pasti dengan keadaan sebenar.

“Kami tidak pasti keadaan anaknya dan masih menunggu kepastian. Kami pun bingung dan sekarang hanya menunggu untuk sampai ke Christchurch saja,” katanya.

Othman berkata, mereka juga mahu Rumihati dan suaminya dikebumikan di Christchurch.

“Kami akan merayu supaya mereka dikebumikan di sana. Ini kerana Rumihati yang juga adik bongsu kami, sebelum bertolak ke New Zealand ada memaklumkan bahawa mereka mahu melawat masjid di Christchurch, yang menjadi sasaran pengganas pada Mac lalu.

“Sebab itu kami setuju mereka dikebumikan di sana kerana mereka tidak sempat melawat kawasan itu (masjid di Christchurch yang menjadi sasaran tembakan rambang pada Mac lalu),” katanya.

Berita Harian X