Khamis, 5 Disember 2019 | 3:53pm
Shukri (dua dari kiri) keluar dari IPD Dang Wangi selepas membuat laporan polis terhadap akuan bersumpah seorang individu, Muhammad Yusoff Rawther. - NSTP/Owee Ah Chun

Laporan polis nafi akuan bersumpah

KUALA LUMPUR: Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Shukri Saad, membuat laporan polis terhadap akuan bersumpah seorang individu, Muhammad Yusoff Rawther, berhubung dakwaan perlakuan tidak senonoh Presiden PKR itu ke atasnya.

Laporan dibuat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.

“Kita serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan akan kaji tindakan undang-undang boleh diambil terhadap Muhammed Yusoff,” katanya ringkas selepas ditemui pemberita, hari ini.

Menyifatkan isu itu sebagai remeh, Shukri berkata, ia seakan-akan menunjukkan ada perancangan menggagalkan proses peralihan kuasa ketika ini.

Dalam satu sidang media semalam, Muhammed Yusoff dalam pengakuan bersumpahnya mendakwa seorang ahli politik kanan melakukan jenayah yang digambarkan sebagai perbuatan keji, teruk, tersembunyi, tidak Islamik, berbahaya dan tidak bermoral terhadapnya.

Anwar dalam satu kenyataan media pagi tadi, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Muhammad Yusoff itu yang kononnya berlaku pada 2 Oktober tahun lalu.

“Pada tarikh yang didakwa, saya sedang giat menjalankan kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson serta menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur dan kembali semula ke Port Dickson untuk memenuhi jadual kempen,” katanya.

Berita Harian X