Khamis, 5 Disember 2019 | 1:50pm

ATM siap siaga bantu mangsa banjir

PASIR MAS: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bekerjasama dengan pelbagai agensi dalam usaha memberikan bantuan terbaik kepada mangsa banjir.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata setiap kali berlaku bencana termasuk banjir, semua pihak sama ada Kerajaan Persekutuan atau negeri bersedia untuk membantu rakyat yang ditimpa musibah.

Katanya, hasil pemantauannya terhadap bencana banjir yang melanda beberapa negeri, beliau berpuas hati terutama ATM yang bekerjasama erat dengan pelbagai pihak.

“Kita bersiap siaga dalam pelbagai aspek membabitkan semua badan. Kita akan pantau sekiranya berlaku lagi banjir selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, kerajaan Pakatan Harapan akan mempertingkatkan khidmat kepada rakyat dengan lebih baik berbanding kerajaan terdahulu.

“Bukan dulu tak buat, ada, tapi kita akan pertingkatkan lagi. Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli juga sedang membuat peruntukan untuk menangani masalah banjir.

“Langkah-langkah pencegahan bukan dibuat untuk tahun ini tetapi untuk rancangan Malaysia bagi lima tahun,” katanya.

MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, Pasir Mas, hari ini. - Foto Fathil Asri
MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, Pasir Mas, hari ini. - Foto Fathil Asri
Berita Harian X