Khamis, 5 Disember 2019 | 12:59pm
MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu membantu mangsa banjir ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, Pasir Mas, hari ini. - Foto Fathil Asri
MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu membantu mangsa banjir ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, Pasir Mas, hari ini. - Foto Fathil Asri

Serahkan kepada SPRM siasat tender bot FIC - Mohamad Sabu

PASIR MAS: Kementerian Pertahanan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan wujudnya penyelewengan berhubung tender bot Fast Interceptor Crafts (FIC) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menterinya, Mohamad Sabu, berkata pihaknya bersikap terbuka untuk sebarang siasatan terhadap mana-mana isu yang berkaitan.

“Kami memang dari awal bersikap terbuka untuk siasatan dan bersedia untuk dipanggil bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata SPRM akan menyemak jika terdapat laporan wujudnya penyelewengan berhubung tender bot FIC untuk TLDM.

Katanya, perkara itu akan didedahkan kepada umum setelah pihaknya mendapat kepastian tentang hal berkenaan.

Sebelum ini, tular di aplikasi WhatsApp yang mendakwa kononnya berlaku penipuan dan penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan tender bagi pembekalan 18 bot FIC oleh TLDM.

Dalam perkembangan lain ketika ditanya mengenai usul had tempoh jawatan Perdana Menteri selama dua penggal, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (PAN) berkata, beliau menyokong memandangkan itu adalah pendirian manifesto.

Berita Harian X