Isnin, 2 Disember 2019 | 4:15pm
A A Anbalagan (kanan) pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau. - NSTP/Danial Saad

Upah lelaki Nepal rebus air ketum

BALIK PULAU: Sekumpulan lelaki tempatan mengupah lelaki warga Nepal untuk menjaga dan merebus air ketum di dua rumah yang dijadikan tempat memproses air ketum sebelum ia dijual sekitar daerah ini.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar apabila polis menyerbu dua rumah terbabit di Permatang Damar Laut, Batu Maung, di sini jam 1.50 pagi Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan, berkata dalam serbuan itu, tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Nepal berusia 24 hingga 29 tahun ditahan.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati lelaki Nepal berkenaan, yang tidak bekerja, diupah RM50 untuk menjaga dan juga merebus air ketum di dua rumah terbabit.

“Dalam serbuan itu, kita berjaya merampas 1,000 bungkus air ketum serta 80 kilogram daun ketum belum diproses, semuanya dianggarkan berjumlah RM7,000.

“Siasatan lanjut mendapati daun ketum itu dibawa dari Kedah sebelum ia diproses serta dijual sekitar Batu Maung dan Bayan Lepas dengan harga RM5 hingga RM10 sebungkus air ketum,” katanya pada sidang media, hari ini.

Anbalagan berkata, hasil siasatan mendapati suspek menjalankan kegiatan memproses dan menjual air ketum itu sejak tiga bulan lalu.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek yang berusia 24 tahun mempunyai empat rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah manakala tiga lagi termasuk lelaki Nepal, tidak mempunyai sebarang rekod.

“Semua suspek kini direman sehingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai peralatan memproses air ketum, antaranya periuk, dapur gas, tong gas serta ais, raga, besen, gelas plastik dan alat penimbang.

Berita Harian X