X
Isnin, 2 Disember 2019 | 1:40pm
LEBIH 30 kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Tembila, Besut diangkut menggunakan lori selepas laluan ke kampus itu ditenggelami air - Foto ihsan UNISZA
LEBIH 30 kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Tembila, Besut diangkut menggunakan lori selepas laluan ke kampus itu ditenggelami air - Foto ihsan UNISZA

Redah banjir dengan lori untuk ke UniSZA

BESUT: Lebih 30 kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Tembila, Besut, terpaksa diangkut menggunakan lori selepas laluan ke kampus itu ditenggelami air sejak kelmarin.

Sebuah lori Jabatan Keselamatan UniSZA disediakan kepada kakitangan untuk membawa mereka dari Kampung Raja ke kampus UniSZA di Tembila.

Pustakawan UniSZA, Norhazura Yunus, 37, berkata semua kakitangan sudah dimaklumkan awal oleh pihak keselamatan untuk menaiki lori ke tempat kerja jika banjir berlaku di kawasan berkenaan.

“Alhamdullilah, dengan adanya kemudahan ini, kami rasa lebih selamat dan tidak perlu risau kerana laluan harian ke kampus agak berisiko jika diredah dengan kereta dan motosikal.

“Walau apa keadaan sekali pun, kami tetap perlu berkerja melainkan keadaan bertambah buruk dan diisytiharkan darurat,” katanya yang berasal dari Kampung Alor Lintang, di sini.

Penolong Pegawai Perubatan UniSZA, Mohd Badrul Hisyam Mat Nasir, 30, berkata kemudahan lori yang disediakan itu sangat membantu dan memudahkan urusannya ke tempat kerja.

“Setiap hari saya naik motosikal dari Kampung Raja ke kampus, tapi hari ini saya naik lori sebab jalan sudah dinaiki air pada paras hingga ke lutut dan saya tidak berani untuk meredah.

“Saya juga mengangkut motosikal dengan lori untuk memberi kemudahan bergerak di dalam kampus nanti.

“Pengalaman pertama terpaksa menaiki lori ke kampus, walaupun agak menyusahkan tetapi ia pengalaman yang menyeronokkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu (SJPBT), Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata semua penduduk perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya yang tinggal di kawasan banjir.

“Penduduk perlu sentiasa mengutamakan keselamatan dan mendapatkan bantuan daripada pihak bertanggungjawab sekiranya perlu.

“Penduduk yang terjejas banjir dan mungkin terlepas pandang boleh menghubungi pemimpin komuniti setempat termasuk Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan mereka atau JPBN Daerah masing-masing,” katanya.

Berita Harian X