Ahad, 1 Disember 2019 | 2:25pm

2 maut kemalangan berasingan

KUCHING: Jalan licin ketika hujan renyai dipercayai punca dua kemalangan berasingan yang meragut nyawa dua penunggang motosikal, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata dalam kejadian pertama, anggota tentera maut selepas motosikalnya terbabas di Jalan Abell, di sini, kira-kira jam 4 pagi.

Mangsa, Mohamad Mahatir Md Isa, 26, anggota Rejimen Ke-4, Kor Armor Diraja yang berasal dari Pahang maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggang mangsa tiba-tiba hilang kawalan dipercayai akibat jalan licin.

“Motosikal mangsa terbabas sebelum terlanggar tiang lampu di tengah jalan dan disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kedua, seorang nelayan maut selepas motosikal jenis Honda EX5 ditunggangnya terbabas dan melanggar pokok di Jalan Stutong, di sini.

Mangsa Suzie Jemat, 41, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala, manakala pemboncengnya Mohd Ariffin Mazenan, 25, mengalami kecederaan di kaki.

Beliau berkata, kejadian kira-kira jam 4.55 pagi itu juga dipercayai berlaku akibat permukaan jalan licin ketika hujan renyai.

Katanya lagi, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X