Khamis, 28 November 2019 | 4:23pm

Gempar jumpa mayat atas benteng pemecah ombak

PARIT BUNTAR: Penduduk dan pengunjung Pantai Ban Pecah, Tanjung Piandang, di sini, terkejut apabila menemui mayat lelaki di atas salah satu benteng pemecah ombak di kawasan itu.

Difahamkan, mayat berseluar pendek dan berbaju berwarna merah itu ditemui kira-kira jam 9.45 pagi tadi susulan penemuan sebuah motosikal dalam keadaan terhumban berdekatan lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi, berkata pihaknya menerima laporan penemuan itu jam 10.36 pagi sebelum sepasukan anggota diarahkan ke lokasi kejadian.

Katanya, hasil siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian termasuk tubuh badan mangsa dan mangsa yang menaiki motosikal dipercayai terbabas sendiri.

“Identiti mangsa sudah diperoleh iaitu Ang Siang Kooi, 43, berasal dari Bagan Utara, Tanjung Piandang.

“Siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal Yamaha Ego dalam perjalanan ke Kuala Kurau dan sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan,” katanya.

Omar Bakhtiar berkata, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 manakala mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Berita Harian X