Selasa, 26 November 2019 | 12:52pm
Dadah jenis syabu yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kunak Jaya, di Kunak. - Foto ihsan IPD Kunak
Dadah jenis syabu yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kunak Jaya, di Kunak. - Foto ihsan IPD Kunak

Bapa bersama dua anak ditahan kes dadah

KUNAK: Polis menahan enam lelaki termasuk tiga beranak dalam operasi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di dua lokasi berasingan di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Baharin Md Tahir, berkata tiga beranak itu ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kunak Jaya, di sini kira-kira jam 1 pagi.

Katanya, serbuan dijalankan susulan maklumat berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah di rumah didiami bapa bersama dua anak lelakinya itu.

“Ujian awal saringan air kencing mendapati tiga beranak masing-masing berumur antara 20 hingga 50 tahun itu didapati positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan polis turut menahan tiga lelaki warga Filipina berhampiran kawasan ladang sawit Pangi, Jalan Kunak - Semporna, petang semalam.

Menurutnya, seorang daripada suspek berumur 49 tahun didapati memiliki enam paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 6.16 gram dianggarkan bernilai RM924.

Semua suspek berumur 40-an itu juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak untuk tindakan lanjut.

“Kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

Berita Harian X