Isnin, 25 November 2019 | 6:19pm
TIMBALAN Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass (tengah) menunjukkan senjata api buatan sendiri yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah
TIMBALAN Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass (tengah) menunjukkan senjata api buatan sendiri yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

5 ditahan miliki senjata buatan sendiri, peluru

KOTA KINABALU: Lima lelaki warga tempatan ditahan selepas didapati memiliki senjata api buatan sendiri, termasuk peluru dalam tiga serbuan berasingan di Kampung Petani, Pitas, Khamis lalu.

Dalam serbuan jam 11 malam itu, lima individu berusia antara 25 hingga 45 tahun ditahan di rumah masing-masing di kampung berkenaan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, berkata serbuan pertama membabitkan penahanan tiga lelaki, manakala dua lagi ditahan melalui serbuan kedua dan ketiga.

“Kita berjaya merampas tiga senapang buatan sendiri jenis bakakuk, satu senapang guli dan 50 peluru dalam serbuan pertama.

“Ini disusuli rampasan satu bakakuk dan lima peluru dalam serbuan kedua, seterusnya penemuan satu bakakuk bersama enam peluru dalam serbuan ketiga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

Zaini berkata, semua individu itu bekerja sendiri dan dipercayai memiliki senjata api untuk tujuan kegunaan sendiri, termasuk berburu.

“Semua individu ini dipercayai mendapatkan peluru daripada pemilik senjata api yang berlesen dan kita dalam usaha untuk mengenal pasti pemilik senjata api terbabit.

“Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.

Berita Harian X