Khamis, 21 November 2019 | 12:44pm
SEORANG pekebun buah ditemui mati ditikam di tepi jalan di Kampung Baru Kundang, Rawang, malam tadi. - Ihsan pembaca
SEORANG pekebun buah ditemui mati ditikam di tepi jalan di Kampung Baru Kundang, Rawang, malam tadi. - Ihsan pembaca

Pekebun buah ditemui mati ditikam

KUALA LUMPUR: Seorang pekebun buah ditemui mati di tepi jalan dipercayai ditikam dalam kejadian di Kampung Baru Kundang, Rawang, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata lelaki berusia 45 tahun itu pada mulanya ditemui terbaring oleh rakannya pada jam 8.55 malam.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan tikaman di bahagian dada sebelah kiri dipercayai akibat tusukan senjata tajam dan pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi.

“Susulan siasatan yang dijalankan, kita menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun beberapa jam selepas kejadian untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, motif pembunuhan dipercayai berpunca rasa cemburu suspek terhadap mangsa yang dikatakan cuba memikat teman wanitanya yang juga seorang warga Indonesia.

Arifai berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Pihak polis masih memburu beberapa lagi suspek yang dipercayai dapat membantu siasatan kes ini,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03 61262222 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan I Agilan di talian 019 5230801

Berita Harian X