Rabu, 20 November 2019 | 9:13am

Kerani rugi RM45,900 ditipu pinjaman tidak wujud

KUANTAN: Hasrat seorang kerani di sini untuk membuat pinjaman mudah sebanyak RM10,000 tidak kesampaian, malah kerugian RM45,900 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud.

Mangsa berusia 31 tahun dari daerah ini diperdaya sindiket penipuan itu apabila diminta membuat pelbagai bayaran proses bagi mendapatkan pinjaman hanya RM10,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa tertarik dengan tawaran pinjaman mudah itu selepas melayari laman sosial berkenaan awal November lalu.

Katanya, mangsa berurusan dengan seorang lelaki bernama Bryan melalui panggilan telefon sebelum menyerahkan salinan kad pengenalan dan penyata gaji bagi semakan kelayakan.

“Mangsa kemudiannya dimaklumkan layak membuat pinjaman berjumlah RM10,000, namun perlu membuat beberapa bayaran sebelum wang pinjaman diserahkan.

“Mangsa juga diperdaya dengan pelbagai bayaran termasuk bayaran wang proses, kos guaman, insuran, duti setem dan pembukaan akaun membabitkan jumlah keseluruhan RM45,900,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat 19 transaksi pembayaran melalui dua akaun bank atas nama individu berbeza.

“Mangsa mula curiga apabila suspek terus meminta bayaran tambahan RM5,000 kononnya untuk bayaran cukai pendapatan dan dia enggan berbuat demikian.

“Selepas syak ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kes dibuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, pihaknya turut mengesan dua individu termasuk seorang wanita yang dikenal pasti sebagai pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan.

Berita Harian X