Selasa, 19 November 2019 | 6:26pm
TERTUDUH, Zuriak Dagang, 59, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen kerana melakukan kelucahan melampau terhadap seorang budak perempuan pada Disember 2016. NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
TERTUDUH, Zuriak Dagang, 59, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen kerana melakukan kelucahan melampau terhadap seorang budak perempuan pada Disember 2016. NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

Peniaga ikan kena penjara, disebat lakukan kelucahan melampau

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga ikan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana melakukan kelucahan melampau terhadap seorang budak perempuan pada Disember 2016.

Hakim Wan Azimah Yaacob mendapati tertuduh, Zuriak Dagang, 59, bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan itu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merangsang mangsa yang ketika kejadian berusia lapan tahun untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau dengannya di sebuah rumah di daerah ini antara 4 Disember 2016 sehingga 17 Disember 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 15 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permintaan tertuduh untuk menangguhkan hukuman sementara tertuduh mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad daripada Mohd Hayyatuddin & Co.

Mengikut fakta kes, perbuatan tertuduh hanya diketahui ibu mangsa selepas terbaca berita mengenai lelaki itu ditangkap polis kerana mencabul seorang budak kira-kira jam 12 tengah hari pada 17 Disember 2016.

Ibu mangsa terus bertanya anaknya sama ada tertuduh pernah melakukan perbuatan tidak senonoh atau tidak kerana mangsa sebelum ini pernah ke rumah tertuduh.

Selepas didesak, mangsa memberitahu ibunya yang tertuduh pernah mengajaknya menonton video lucah, membuka seluar dan meraba selain turut mengambil gambar kemaluannya.

Berita Harian X