Isnin, 18 November 2019 | 10:56am
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan kes meminda laporan akhir Audit 1MDB yang dihadapinya. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Mahkamah tolak permohonan Najib tangguh bicara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan kes meminda laporan akhir Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Berikutan keputusan itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan mengarahkan prosiding perbicaraan kes berkenaan diteruskan hari ini seperti yang sudah dijadualkan.

Kes turut membabitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang didakwa bersubahat melakukan pindaan berkenaan.

Jumaat lalu, Arul Kanda yang diwakili peguam bela Datuk N Sivananthan membantah permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan.

Najib melalui peguam bela Harvinderjit Singh memohon ia ditangguhkan kerana mereka hanya mempunyai waktu singkat untuk menyiapkan pembelaan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan usul pada Rabu, memohon perbicaraan, yang ditetapkan pada hari Isnin hingga 29 November 2019 ditangguh kepada 13 Januari 2020.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Najib dituduh, atas kapasitinya sebagai seorang pegawai awam iaitu perdana menteri, menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Jumaat lalu, Arul Kanda yang diwakili peguam bela Datuk N Sivananthan membantah permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Arul Kanda, 43, didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan itu bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Berita Harian X