Isnin, 18 November 2019 | 7:43am

Dua sahabat maut kereta dinaiki dihempap treler

ALOR GAJAH: Dua sahabat maut manakala enam cedera termasuk tiga kanak-kanak dalam kemalangan di Kilometer 204.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Ayer Keroh, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 7.45 malam itu, mangsa yang maut dikenali Muhammad Lukman Haqim Mosyazid dan Ahmad Daniel Ruzwan Iskandar Mohd Ali masing-masing berusia 19 tahun.

Kedua-dua remaja terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Lumpur bagi memulakan latihan industri.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hassan Basri Yahya, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila treler muatan serbuk batu kapur yang dalam perjalanan dari arah Seremban, Negeri Sembilan menghala ke Johor dikatakan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh kenderaan dari arah bertentangan.

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan di Kilometer 204.5 lebuh raya PLUS arah utara berhampiran kawasan R&R Ayer Keroh, malam tadi. - NSTP/Khairunisah Lokman

Beliau berkata, disebabkan keadaan Perodua Myvi yang remuk teruk akibat dihempap treler hanya satu mangsa berjaya dibawa keluar sebelum kenderaan berat itu dialihkan dengan bantuan kren.

"Mangsa kedua hanya dapat dibawa keluar tujuh jam kemudian selepas pihak bomba terpaksa memotong beberapa bahagian kenderaan terbabit," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Hasan Basri berkata, identiti siapa pemandu Perodua Myvi ketika kejadian juga belum dapat dikenal pasti memandangkan keadaan kereta yang musnah teruk.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat selain mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Pemandu lori terbabit akan direman sebaik menerima rawatan selain ujian saringan air kencing dan sampel darah turut diambil," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan di Kilometer 204.5 lebuh raya PLUS arah utara berhampiran kawasan R&R Ayer Keroh, malam tadi. - NSTP/Khairunisah Lokman
Mangsa yang maut dipercayai dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Lumpur bagi memulakan latihan industri. - NSTP/Khairunisah Lokman
Dua sahabat maut dalam kemalangan di Kilometer 204.5 lebuh raya PLUS arah utara berhampiran R&R Ayer Keroh, malam tadi. - NSTP/Khairunisah Lokman
Anggota bomba memeriksa barangan milik mangsa. - NSTP/Khairunisah Lokman
Anggota bomba memeriksa barangan milik mangsa. - NSTP/Khairunisah Lokman
Anggota bomba mengangkat mayat mangsa. - NSTP/Khairunisah Lokman
Berita Harian X