Sabtu, 16 November 2019 | 8:23pm
Gambar terakhir Haiqal (dalam bulatan) selepas membantu gelandangan di Kuala Lumpur. - Ihsan pembaca

Sukarelawan maut kemalangan selepas bantu gelandangan

SUNGAI BESAR: Seorang sukarelawan yang dalam perjalanan pulang dari program membantu gelandangan maut dalam kemalangan di Kilometer 19.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa yang juga penumpang hadapan kereta, Muhammad Haiqal Mohd Hamizar, 22, maut selepas tercampak keluar dari kereta Mitsubishi Lancer yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Bagaimanapun, pemandu kereta, Muhammad Zuhairi Shuhaimi, 24 dan penumpang belakang, Fakrul Fahim Khairu Anuar, 22, masing-masing cedera ringan dan dirawat di Hospital Selayang.

Bapa mangsa yang juga Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Peduli Rakyat (PKPR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Mohd Hamizar Sulaiman, 49, berkata, dia menerima berita mengenai kemalangan itu daripadanya isterinya, Noreza Malek, 50, selepas kejadian.

Mohd Hamizar (kiri) bersama isteri, Noreza menunjukkan gambar terakhir anak mereka, Haiqal yang membantu gelandangan di ibu kota sebelum maut dalam kemalangan di Kilometer 19.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), semalam. - NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin

Keadaan kenderaan yang dinaiki tiga sekawan hingga mengorbankan Haiqal dalam kemalangan di Kilometer 19.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), semalam. - Ihsan pembaca

“Ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang ke Sungai Besar selepas selesai membantu golongan gelandangan di Kuala Lumpur.

“Jiwa arwah (Haiqal) suka membantu orang susah. Dia tidak lokek menghabiskan tenaga dan masa ke arah itu kerana ia sudah sebati dalam dirinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Purnama 2, di sini, hari ini.

Mohd Hamizar berkata, anak kedua daripada lima beradik itu ada memaklumkan padanya dan Noreza mengenai aktiviti membantu gelandangan seminggu sebelum kemalangan berlaku.

“Arwah ada cakap pada saya dan isteri, ‘Ayah tak nak menyumbang ke? Haiqal ada buat aktiviti bersama kawan-kawan nak bagi sedekah pada gelandangan di Kuala Lumpur.

“Malah, sebelum bertolak (semalam), saya memberinya RM500 kepada arwah untuk melaksanakan aktiviti itu dan Alhamdulilah, bila saya dan isteri tengok video arwah membantu gelandangan di laman sosial, kami bersyukur perkara itu berjaya dilaksanakan. Kami reda dengan pemergiannya,” katanya.

Sementara itu, Noreza berkata, Haiqal anak yang periang selain mesra dengan keluarga dan rakan, peramah dan suka membantu.

“Bila saya sekeluarga tiba di hospital untuk melihat jenazah, saya lihat ratusan anak muda yang pernah arwah bantu berkumpul untuk menguruskan jenazah daripada memandikan sehinggalah menghantar ke rumah.

“Malah, kenderaan jenazah juga diuruskan mereka (anak muda) dan saya sebagai ibu terharu dan bersyukur mereka tetap bersama meskipun arwah sudah tiada,” katanya.

Jenazah Haiqal sebelum itu dimandikan dan dikafankan di Hospital Selayang dan dibawa ke rumah keluarganya sebelum dibawa ke Masjid Taman Padu Permai untuk disembahyangkan.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Limau kira-kira jam 10.15 pagi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, ketika kejadian cuaca hujan dan permukaan jalan basah menyebabkan Mitsubishi Lancer itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.

Katanya, akibat rempuhan itu, mangsa tercampak keluar dari kereta dan jatuh ke laluan bertentangan.

“Mangsa cedera parah pada kepala dan badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Berita Harian X