Sabtu, 16 November 2019 | 7:53pm
Muhd Nur Syam (dua dari kanan) memeriksa hasil rampasan pelbagai jenis ikan dengan jumlah keseluruhan lebih RM3 juta termasuk tiga bot nelayan Vietnam dalam Op Naga Barat dan Op Damai di Jeti APMM Tok Bali. - NSTP/Zaman Huri Isa
Muhd Nur Syam (dua dari kanan) memeriksa hasil rampasan pelbagai jenis ikan dengan jumlah keseluruhan lebih RM3 juta termasuk tiga bot nelayan Vietnam dalam Op Naga Barat dan Op Damai di Jeti APMM Tok Bali. - NSTP/Zaman Huri Isa
Maritim Malaysia Kelantan merampas pelbagai jenis ikan dengan jumlah keseluruhan lebih RM3 juta termasuk tiga bot nelayan Vietnam dalam Op Naga Barat dan Op Damai. - NSTP/Zaman Huri Isa
Maritim Malaysia Kelantan merampas pelbagai jenis ikan dengan jumlah keseluruhan lebih RM3 juta termasuk tiga bot nelayan Vietnam dalam Op Naga Barat dan Op Damai. - NSTP/Zaman Huri Isa

Maritim Malaysia gempur nelayan asing ceroboh perairan negara

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan 45 nelayan warga Vietnam dan tiga bot bernilai lebih RM3 juta atas kesalahan menceroboh perairan negara dalam operasi khas pada Rabu dan Khamis lalu.

Kesemua nelayan berusia 15 hingga 53 tahun itu bersama bot mereka ditahan pada kedudukan 141 hingga 145 batu nautika dari Muara Tok Bali, di sini antara jam 4.34 petang hingga 12.30 tengah malam dalam operasi Ops Naga Barat dan Ops Damai.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob, berkata hasil operasi itu, pihaknya merampas 8,500 kilogram ikan dengan kos keseluruhan, termasuk tiga kapal bernilai lebih RM3 juta.

Katanya, bot pertama dan kedua ditahan masing-masing jam 4.34 petang dan 11.22 malam di 143 hingga 145 batu nautika dari Muara Tok Bali.

“Pemeriksaan bot pertama menahan 14 awak-awak termasuk tekong manakala bot kedua pula menahan 16 awak-awak termasuk seorang tekong.

“Bot terakhir jam 12.30 malam kelmarin di 141 batu nautika dari Muara Tok Bali menahan 15 awak-awak. Kapal KM Jujur menghadapi sedikit kesulitan semasa menahan bot berikutan beberapa nelayan dalam keadaan mabuk dan agak agresif. Pada masa sama, laut yang bergelora ketika membawa balik bot sehingga mengambil tempoh lama untuk tiba di jeti,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Muhd Nur Syam ketika mengulas lanjut, berkata melalui tangkapan dan rampasan terbesar tahun ini, pihaknya berjaya membuktikan Maritim Malaysia sentiasa komited melindungi hasil negara dan nelayan tempatan daripada ancaman bot nelayan asing.

“Kesemua bot yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Kelantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap atau cuba menangkap ikan di Perairan Malaysia.

“Penahanan ini juga menjadikan statistik tangkapan Maririm Kelantan berjumlah 25 kes iaitu membabitkan 16 tangkapan bot nelayan asing, enam tangkapan bot nelayan tempatan, dua kes penyeludupaj rokok serta satu kes penyeludupan petrol,” katanya.

Muhd Nur Syam Asmawie turut memberi amaran kepada penyeludup dan nelayan asing supaya memberhentikan bot ketika pihaknya mengeluarkan arahan.

“Sebelum ini ada yang mengatakan Maritim Malaysia hanya mempunyai pistol ketika membuat operasi, namun hari ini kami mahu buktikan bahawa kami mempunyai senjata cukup hebat untuk tewaskan mereka,” katanya.

Berita Harian X