Sabtu, 16 November 2019 | 1:30pm
CHE ZAIMANI (kiri) menyerahkan dokumen serah tugas kepada Asisten Komisioner Soffian Santong (kanan) yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Timur Laut yang baru sambil disaksikan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
CHE ZAIMANI (kiri) menyerahkan dokumen serah tugas kepada Asisten Komisioner Soffian Santong (kanan) yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Timur Laut yang baru sambil disaksikan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Kes ugut dengan bom, polis minta bantuan INTERPOL

GEORGETOWN: Polis akan mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi menjejak tiga lelaki warga China yang melemparkan bom palsu di rumah seorang pengarah urusan sebuah hotel di Bukit Gambir, pada 4 November lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata langkah itu akan dibuat sekiranya semua mereka sudah keluar dari negara ini, namun setakat ini polis percaya suspek masih berada di Malaysia.

Katanya, Jabatan Imigresen juga sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan bersedia menahan suspek jika ada cubaan untuk keluar dari negara ini melalui pintu udara.

“Kita masih dalam proses untuk kesan dan tangkap mereka yang mana kita percaya mereka masih berada di Malaysia.

“Bagaimanapun, dalam hal ini apa saja boleh berlaku. Kita tidak menolak kemungkinan mereka bergerak dari satu negeri ke satu negeri atau cuba keluar melalui jalan tikus.

“Orang yang takut ini ada banyak cara untuk meloloskan diri atau mengelak ditangkap, sebab itu kita akan minta kerjasama INTERPOL kalau-kalau mereka sudah keluar,” katanya di sini, hari ini.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai masuk ke negara ini seminggu sebelum kejadian itu, hanya untuk meminta supaya wang mereka dikembalikan.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, tiga lelaki berusia 30-an hingga 50-an memecah masuk ke rumah mangsa dan meletakkan dua butir bom buatan sendiri di belakang pintu masuk kerana mahu menuntut semula wang mereka selepas mendakwa ditipu bapa mangsa dalam satu skim pelaburan.

Mengenai kes lain, Che Zaimani berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang pengasuh memukul bayi perempuan berusia enam bulan di Tanjong Tokong Lama, baru-baru ini.

Polis kini sedang menunggu laporan daripada doktor pakar sebelum menyerahkannya kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Kes ini sebenarnya bukan kes dera tetapi lebih kepada perbuatan kasar yang mana suspek membuat pengakuan bahawa dia bertindak kasar terhadap bayi itu.

“Pemeriksaan sudah dijalankan oleh doktor dan tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada mangsa tetapi, kita akan lihat laporan daripada doktor pakar pula yang turut memeriksa bayi terbabit sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

Semalam, Che Zaimani mengesahkan sudah merakam percakapan pengasuh berusia 34 tahun susulan laporan polis dibuat seorang kakitangan bank pada 11 November lalu, selepas menerima dua video pendek daripada rakannya menunjukkan seorang bayi dipukul.

Video berdurasi tujuh dan tiga saat itu turut tular di media sosial dan menerima pelbagai komen daripada warganet yang mengecam perbuatan wanita terbabit.

Berita Harian X