Jumaat, 15 November 2019 | 1:02pm
Mohammad Aimin Nurul Amin.

Dua remaja didakwa bunuh Mohammad Aimin di pusat tahfiz

TEMERLOH: Dua remaja masing-masing berusia 13 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan membunuh Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, di sebuah pusat tahfiz di sini, Khamis lalu.

Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh yang bertubuh kecil itu dibacakan di hadapan Majistret Ti Pei Si dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup hari ini.

Kedua-dua mereka sekadar mengangguk faham akan pertuduhan yang menyatakan mereka membunuh Mohammad Aimin, antara 11.30 pagi hingga 1.30 tengah hari, 7 November lalu, di asrama Maahad Tahfiz Nahdah Syubban Addiniyah, Kampung Kuala Kaung, di Lanchang, di sini.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rifah Izzati Abdul Mutalif mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh yang memakai baju-T merah dan berseluar sukan itu tidak diwakili peguam dalam prosiding yang turut dihadiri ibu bapa mereka.

Ti menetapkan 19 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa dan juga bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Pada 8 November lalu, media melaporkan Mohammad Aimin disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lanchang pada jam 1.30 tengah hari, selepas dibawa oleh warden wanita pusat tahfiz itu yang menemui mangsa di asrama berkenaan.

Bedah siasat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini, mengesahkan kematian Mohammad Aimin disebabkan trauma akibat permukaan atau objek tumpul pada dada dan abdomen mangsa.

Mangsa difahamkan baru dihantar ke pusat tahfiz itu sekitar pertengahan Oktober lalu, bersama-sama abang tirinya berusia 13 tahun.

– BERNAMA

Berita Harian X