Jumaat, 15 November 2019 | 12:15pm

Dua lelaki didakwa cederakan anjing

KUALA LUMPUR: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan mencederakan seekor anjing dengan kejam, pada Januari dan November lalu.

Pemandu peribadi, Amir Abd Salim Meor Lope, 51, dan pemandu lori, S Mathialakan, 55, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Mengikut kertas pertuduhan, Amir didakwa mencederakan seekor anjing dengan kejam di belakang bengkel kereta tidak bernombor di Jalan Miri Taman Beringin di Jinjang Utara di sini, pada 4 dan 5 Januari lalu.

Sementara itu, Mathialakan pula didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seekor anjing di hadapan rumah, di Taman Maluri, pada jam 7.23 pagi, pada 10 November lalu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang boleh dihukum bawah Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa dari Jabatan Veterinar Wilayah Persekutuan, Hasiah Musa manakala peguam bela S I Rajah mewakili Mathialakan.

Terdahulu, Hasiah menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.

Rajah memohon supaya anak guamnya dibenarkan ikat jamin dengan jaminan yang rendah atas alasan penanggung utama keluarga.

Amir yang tidak diwakili peguam turut memohon supaya diberikan jaminan rendah atas alasan sama.

Mahkamah kemudian membenarkan mereka dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Disember depan sebagai sebutan semula kes.

Kedua-duanya membayar jaminan itu.

Berita Harian X