Jumaat, 15 November 2019 | 7:56am
Gambar kiri; Keadaan peniaga burger yang cedera selepas ditikam dengan pisau di bahagian tengah dada oleh seorang lelaki di Jalan Tunku Asaad. Gambar kanan; Orang ramai menahan suspek yang menikam peniaga burger dengan menggunakan pisau di Jalan Tunku Asaad, Kulim.- Foto ihsan Pembaca

Peniaga burger cedera ditikam

KULIM: Seorang peniaga burger cedera ditikam di bahagian dada oleh seorang lelaki di Jalan Tunku Asaad, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 8 malam itu, mangsa berusia 32 tahun sedang berniaga di gerainya sebelum didatangi suspek berusia 34 tahun.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari, berkata kejadian dipercayai berlaku selepas suspek cuba mengambil wang tunai yang terdapat di dalam bekas yang berada di atas meja gerai berkenaan.

“Mangsa cuba menghalang suspek daripada mengambil wang berkenaan menyebabkan suspek bertindak mencapai pisau pemotong sayur yang berada di atas meja gerai dan menikam mangsa di bahagian dada.

“Orang awam yang berada di lokasi kejadian sempat menahan suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.

Mohd Yusuf berkata, suspek dipercayai mempunyai masalah mental selain satu rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X