Khamis, 14 November 2019 | 12:47pm

Beri rasuah RM100 didenda RM10,000

MELAKA: Buruh Rohingya dari Myanmar dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM100 kepada pegawai polis, Ogos lalu.

Tertuduh, Mohamad Amin Aman Hussain, 21, yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan dia dipenjara dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Dia didakwa memberi rasuah RM100 kepada seorang Lans Koperal Polis Diraja Malaysia sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadapnya yang melakukan kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen sah.

Kesalahan itu dilakuka di Jalan Tebong, Alor Gajah di sini, pada kira-kira 6 jam petang, 28 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Subsesyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Nur Syakila Yaacob memohon kepada mahkamah supaya mengenakan hukuman setimpal.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan kerana mempunyai ibu bapa yang sakit selain menanggung dua adik di Myanmar.

Tertuduh, Mohamad Amin Aman Hussain (tengah) diiringi anggota SPRM ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. - NSTP/Rasul Azli Samad
Berita Harian X