Rabu, 13 November 2019 | 1:13pm
Arul Kanda hadir pada pengurusan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias

Bicara pinda Laporan Audit 1MDB tetap bermula Isnin ini

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes dihadapi Datuk Seri Najib Razak yang didakwa meminda Laporan Akhir Audit 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) akan bermula Isnin depan seperti yang dijadualkan.

Kes itu turut membabitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, yang didakwa bersubahat dengan Najib melakukan perbuatan itu.

Dalam prosiding hari ini, Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan untuk meneruskan dengan tarikh perbicaraan yang sudah ditetapkan selepas berpendapat mahkamah sukar untuk mendapatkan tarikh alternatif lain.

Menurut hakim itu, beliau turut mengambil kira permohonan pendakwaan (untuk menangguhkan kes) kerana saksi utama, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang juga bekas CEO 1MDB masih memberikan keterangan dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB dihadapi Najib.

“Oleh itu, saya cadangkan pihak pendakwaan untuk meneruskan perbicaraan kes ini dengan memanggil saksi lain terlebih dahulu.

“Saya beri jaminan tidak akan memberikan tekanan kepada saksi (Shahrol Azral) untuk memberikan keterangan jika keterangan beliau dalam perbicaraan 1MDB belum selesai.

“Mahkamah akan berikan masa kepada saksi sekiranya diperlukan dan menjalankan prosiding secara adil,” katanya.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Datuk N Sivananthan bertindak bagi pihak Arul Kanda.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Dia dituduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Audit 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Tuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB di tempat dan masa sama.

Tuduhan terhadapnya adalah mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X