Rabu, 13 November 2019 | 10:22am
MINYAK petrol yang dirampas PPM di kawasan Batu 3, Sandakan. - Foto ihsan PPM
MINYAK petrol yang dirampas PPM di kawasan Batu 3, Sandakan. - Foto ihsan PPM

PPM rampas 600 liter minyak cuba diseludup ke negara jiran

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan aktiviti penyeludupan minyak petrol yang dilaporkan aktif berlaku di kawasan Batu 3, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, sepasukan Unit Risikan Marin PPM Sandakan membuat pemantauan dan memeriksa sebuah kereta yang diletakkan di tepi parit besar, sebelum menemui 20 tong jerikin berisi bahan api itu dengan keseluruhan dianggarkan 600 liter.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata rampasan minyak dan kenderaan membabitkan nilai lebih RM61,000.

“Minyak petrol dipercayai untuk diseludup ke Filipina.

“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun selepas mengaku memiliki minyak petrol berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohamad Pajeri berkata, pemeriksaan lanjut ke atas suspek mendapati suspek tidak mempunyai surat kebenaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan.

Berita Harian X