Isnin, 11 November 2019 | 6:15pm
Gambar fail, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Edmund Samunting
Gambar fail, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Edmund Samunting

Jenayah dalam kalangan pelajar masih membimbangkan

IPOH: Kesalahan jenayah dalam kalangan remaja terutama pelajar di negara ini masih di tahap membimbangkan dan usaha pencegahan perlu dipergiatkan lagi supaya perkara itu dapat ditangani sewajarnya.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata statistik tangkapan pelajar dalam jenayah indeks pada 2017 merekodkan seramai 1,722 pelajar ditahan manakala 2018 pula 1,286 pelajar ditahan.

Menurutnya, bagi kategori jenayah kekerasan pada 2017, seramai 611 pelajar ditahan berbanding 471 pada 2018 dan bagi kategori jenayah harta benda pula pada 2017 seramai 1,111 ditahan berbanding 815 pelajar pada tahun sebelumnya.

“Jika ingin dibandingkan dengan jumlah keseluruhan lebih 5 juta pelajar seluruh Malaysia ia memang jumlah yang kecil, namun jenayah tidak sepatutnya berlaku membabitkan kalangan pelajar.

“Masalah ini adalah serius dan semua pihak perlu memainkan peranan bagi mencegah kegiatan jenayah, termasuk pelajar sendiri yang mempunyai tanggungjawab bagi memastikan mereka tidak terbabit jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Remaja Bersatu Mencegah Jenayah di Sekolah Menengah Yuk Choy (SUWA) di sini, hari ini.

Lam Thye berkata, pihaknya merasakan kesedaran mengenai jenayah perlu bermula di peringkat sekolah kerana mencegah adalah lebih baik daripada memerangi kegiatan jenayah, dan atas faktor itu MCPF bertindak menubuhkan kelab pencegahan jenayah di sekolah rendah dan sekolah menengah seluruh negara.

“Setakat ini sudah ada lebih 5,000 kelab pencegahan jenayah di sekolah sejak 1999 dan MCPF akan menggesa supaya semua kelab ini lebih aktif dalam mengadakan pelbagai program pencegahan jenayah di sekolah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan serta agensi lain.

“Program seperti Remaja Bersatu Mencegah Jenayah ini adalah langkah yang baik dalam memberi pendedahan kepada pelajar mengenai jenayah supaya mereka tidak terjebak dalam sebarang perbuatan jenayah atau menjadi mangsa seperti penipuan macau scam dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, data dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula menunjukkan purata penggunaan internet di kalangan rakyat negara ini pada 2018 adalah 6.6 jam sehari dengan 93.1 peratus penggunaan melalui telefon pintar dan penggunaan internet di kalangan belia pula adalah selama 8 jam sehari.

“Pengunaan internet terutama media sosial juga isu membimbangkan kerana terdapat pelajar yang menyalahgunakannya hingga berlaku masalah sosial, hisap vape atau rokok elektronik, dadah dan banyak lagi,” katanya.

Lam Thye berkata, pihaknya juga akan menubuhkan MCPF di peringkat daerah di semua 155 daerah pentadbiran PDRM seluruh Malaysia dan setakat ini sebahagian besar sudah ada termasuk di Perak yang mempunyai 15 daerah PDRM.

“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) untuk menganjurkan pelbagai program dalam usaha menangani masalah jenayah termasuk di kalangan remaja dan pelajar,” katanya.

Berita Harian X