Isnin, 11 November 2019 | 5:57pm
Enam kanak-kanak dan remaja ditahan kerana menunggang basikal lajak di Taman Kosas, Ampang. - Ihsan PDRM
Enam kanak-kanak dan remaja ditahan kerana menunggang basikal lajak di Taman Kosas, Ampang. - Ihsan PDRM

Penjaga kanak-kanak basikal lajak ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan ibu bapa dan penjaga enam kanak-kanak dan remaja yang menunggang basikal lajak di Taman Kosas Ampang, Ampang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan.

Katanya, polis turut mengeluarkan saman terhadap enam kanak-kanak dan remaja lelaki berusia antara 11 hingga 16 tahun yang menunggang basikal lajak, selain menyita basikal itu mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan.

“Tiga daripada mereka berusia 11 tahun, seorang 15 tahun dan dua lagi berusia 16 tahun. Siasatan mendapati mereka yang berusia 15 dan 16 tahun tidak bersekolah, manakala bakinya masih bersekolah.

“Penjaga termasuk yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, peniaga dan penyelia hotel yang ditahan pula sudah dibebaskan dengan jaminan polis setelah keterangan diambil.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isu basikal lajak kembali hangat diperkatakan pada 28 Oktober lalu selepas Mahkamah Majistret Johor Bahru melepaskan dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017.

Majistret Siti Hajar Ali membebaskan Sam Ka Ting, 24, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Pada 31 Oktober lalu, BH melaporkan kegiatan menunggang basikal lajak yang sudah diubah suai serta penjualan basikal sedemikian wajar diharamkan bagi mengelak sebarang risiko kemalangan ke atas penunggangnya atau pengguna jalan raya lain.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Wong Yau Duenn, dipetik berkata pengharaman basikal lajak juga perlu secara menyeluruh kerana ia memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam.

Berita Harian X