Isnin, 11 November 2019 | 12:03pm
SHAHROL Azral Ibrahim Halmi.
SHAHROL Azral Ibrahim Halmi.

Jho Low bawa Gim Huat sebagai Ahli Lembaga Pengarah 1MDB

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dikehendaki polis, Low Taek Jho atau Jho Low membawa masuk Datuk Ong Gim Huat sebagai Lembaga Pengarah 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini berkata, Gim Huat yang juga seorang ahli perniagaan dalam sektor hartanah itu diberi jawatan sebagai pengarah bukan eksekutif 1MDB.

Shahrol Azral berkata, kemasukan Gim Huat untuk menyempurnakan misi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi memberi peluang kepada tokoh bukan Bumiputera menyertai 1MDB.

Saksi kesembilan itu berkata, perkara itu pernah dibincangkan Lembaga Pengarah 1MDB dan selepas perbincangan itu Jho Low mencadangkan beberapa nama, termasuk Gim Huat.

“Jho Low ada beritahu (mendakwa) dia sudah mendapat kebenaran daripada Najib untuk membawa masuk Gim Huat sebagai ahli Lembaga Pengarah 1MDB.

“Ini kerana kedudukan Gim Huat sebagai ahli perniagaan berpengalaman dapat menyalurkan pandangannya bagi membangunkan syarikat (1MDB) itu,” katanya.

Sementara itu, Shahrol Azral juga mendedahkan bahawa pelantikan bekas CEO SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Nik Ariff turut direkrut oleh Jho Low.

Shahrol Azral, berkata Nik Faisal dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) selepas namanya ‘dipetik’ Jho Low.

“Saya bertanya Jho Low ada atau tidak individu yang layak menjawat jawatan sebagai CIO untuk menjaga dana 1MDB, kemudian nama Nik Faisal muncul,” katanya.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu pelantikan bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang, malah Shahrol Azral sendiri turut dicadangkan oleh Jho Low.

Saksi berusia 49 tahun itu berkata demikian dalam pemeriksaan balas peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-34 kes penyelewengan dana 1MBD itu.

Ditanya sama ada boleh atau tidak Shahrol Azral mengemukakan surat pelantikan Nik Faisal, saksi itu berkata, beliau cuba mendapatkan surat daripada pegawai penyiasat kes.

Berita Harian X