Isnin, 11 November 2019 | 10:10am

Tidak mengaku bersalah sebabkan kematian pelajar

BALIK PULAU: Seorang pemandu bas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian seorang pelajar dalam kejadian Khamis lalu.

S Peter Paul 49, yang memakai baju T berwarna biru membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Ahmad Tajudin Zain.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu bas di bawah pengaruh dadah menyebabkan dia tidak berdaya mengawal kenderaan itu sehingga mengakibatkan kematian terhadap penunggang motosikal, Muhammad Saifullah Mohammad Hafiez.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Dato Ismail Hashim, dalam Daerah Barat Daya, kira-kira jam 6.30 petang, pada 7 November lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 44 (1) Jalan Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM8,000 dan maksimum RM20,000 dan boleh juga dipenjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rais Imran Hamid, manakala tertuduh diwakili peguam, S Yagoo.

Terdahulu, Rais memohon ikat jamin sebanyak RM20,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin kerana kesalahan dilakukan itu serius.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon supaya ikat jamin dikurangkan kepada RM10,000 atas alasan tertuduh yang juga bapa tunggal hanya bekerja kerja sambilan sebagai pemandu bas dengan pendapatan RM1,400, selain perlu menyara ibu dan tiga anak.

Ahmad Tajudin kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan 5 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian itu, Muhammad Saifullah, 16, meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan selepas dirempuh bas persiaran di Jalan Dato Ismail Hasyim, Bayan Lepas.

Difahamkan, ketika kejadian, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara yang bekerja sambilan di restoran pizza itu dikatakan dalam perjalanan menghantar pesanan kepada pelanggan.

Kemalangan berlaku ketika bas berkenaan yang datang dari arah Persiaran Kelicap menuju ke Bayan Lepas dikatakan hilang kawalan selepas bergesel dengan sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan.

Bas itu kemudiannya melanggar sebuah kereta jenis Suzuki Swift yang dipandu seorang wanita yang membawa dua orang anaknya, sebelum melanggar sebuah lagi motosikal yang diletakkan di bahu jalan.

Kenderaan terbabit terus bergerak sehingga ke lampu isyarat di Jalan Datuk Ismail Hasyim dan melanggar motosikal ditunggang Muhammad Saifullah yang sedang berhenti di lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan sebelum ini memaklumkan, siasatan awal polis mendapati masalah brek dikatakan menjadi punca kepada kemalangan itu.

PEMANDU bas persiaran dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang pagi tadi untuk dituduh berhubung kes kemalangan yang meragut nyawa Muhammad Saifullah Muhammad Hafeiz, 16 pada 7 November lalu. NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Berita Harian X