Ahad, 10 November 2019 | 5:56pm
- Gambar hiasan

Kes tikam isteri: Suspek tertekan sejak beberapa bulan lalu

PUTRAJAYA: Jurutera Audio yang mencederakan isterinya yang sarat mengandung Jumaat lalu dikatakan mula tertekan dengan beban kerja sejak dua hingga tiga bulan lalu.

Sepupu suspek yang hanya mahu dikenali sebagai Din, 37, berkata sikap lelaki itu juga dilihat berubah selepas kematian nenek mereka, empat bulan lalu.

“Saya dan dia sangat rapat sejak kecil lagi. Semasa kematian nenek, dia pulang ke Melaka dan (saya) dapat lihat wajahnya (suspek) seperti banyak masalah.

“Saya tanya dia kenapa muka nampak (macam) banyak masalah. Dia kata kerja teruk sangat.

“Saya suruh dia balik bekerja di Melaka sahaja memandangkan ada cawangan pejabatnya di situ dan dia kata ada cadangan untuk balik selepas isterinya selamat bersalin,” katanya kepada BH semalam.

Menurut Din, sepanjang pengetahuannya, hubungan suspek dengan isterinya tidak pernah bermasalah.

“Yang saya tahu mereka tak ada masalah rumah tangga, semuanya baik sahaja. Malah hubungan kekeluargaan mereka semua sangat mesra dan rapat termasuk dengan mentua masing-masing,” katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa berusia 35 tahun yang juga seorang guru mengalami pendarahan akibat luka dikelar pada jari kiri, lengan kanan, dua kesan kelar di perut serta luka di belakang badan selepas ditikam suaminya yang kemurungan dipercayai akibat tekanan di tempat kerja.

Bagaimanapun mangsa yang hamil 37 minggu selamat melahirkan bayinya melalui pembedahan.

Suspek kini ditahan reman hingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X