Ahad, 10 November 2019 | 10:07am

Banjir di Membakut semakin pulih

BEAUFORT: Banjir di daerah kecil Membakut, di sini, semakin pulih dengan air Sungai Membakut berada di bawah paras amaran setakat jam 8 pagi tadi.

Paras air sungai berkenaan adalah 5.28 meter berbanding bacaan tertinggi 7.18 meter pada jam 6 petang kelmarin iaitu melebihi paras bahaya 6.8 meter, menyebabkan 12 kampung dan 10 laluan dinaiki air antara 0.5 meter hingga 1.5 meter.

Seramai 103 mangsa membabitkan 32 keluarga dipindahkan ke Dewan Pusat Pemindahan Mangsa Bencana di Kampung Selagon, di sini, sehingga malam tadi.

Semua mangsa dilaporkan masih berada di pusat pemindahan berkenaan, setakat pagi ini.

Berdasarkan kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Daerah Beaufort, sembilan kampung iaitu Bambangan, Sinoko, Sindok, Lumantak, Baitam Laut, Jambatan Baru, Baitam dan Baitam Baru, sudah pulih pagi ini.


Operasi menghantar pulang mangsa banjir dari Pusat Pemindahan Mangsa Bencana di Selagon, Beaufort ke kediaman masing-masing, di sekitar daerah kecil Membakut.- Foto ihsan APM

Hanya tiga kampung iaitu Kayai, Papas dan Kampung Baru dilaporkan belum pulih setakat jam 8 pagi ini.

Setakat ini, hanya satu laluan dilaporkan tidak boleh dilalui iaitu Jalan Kampung Baru.

Laluan lain iaitu Jalan Kampung Bambangan, Sinoko, Poring, Baitam Laut, Baitam Ulu, Baitam dan Jalan Kampung Jambatan Baru dilaporkan sudah pulih sepenuhnya dan boleh dilalui semua jenis kenderaan.

Selebihnya, iaitu Jalan Kampung Kayai dan Papas hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Kira-kira 70 anggota, pegawai dan sukarelawan membabitkan pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis, Pejabat Daerah Beaufort, Majlis Daerah Beaufort (MDB), Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Wirawati Parti Warisan Sabah (WARISAN) terbabit dalam operasi membantu mangsa.

KEADAAN kawasan yang dilanda banjir di sekitar Membakut dilaporkan semakin pulih. - Foto ihsan APM
Berita Harian X