Sabtu, 9 November 2019 | 9:38pm
Zaahani berkata, dia tidak mengetahui langsung anak kesayangannya, Nurul Insyirah pulang ke rumah untuk meraikan hari jadinya. - NSTP/Md Fuzi Abd Lateh

Kejutan terakhir buat hari jadi ibu

BUKIT BERUNTUNG: “Memang tidak sangka kejutan hari jadi saya sempena Maulidur Rasul kali ini cukup tragis dan memilukan,” kata Zahaani Mat, 42, ibu kepada remaja perempuan, Nurul Insyirah Ab Aliyasak, 14, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 383 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di sini.

Zaahani berkata, dia tidak mengetahui langsung anak kesayangannya itu yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Rahah, Sabak Bernam dalam perjalanan pulang ke rumah untuk meraikan hari jadinya.

“Saya terkejut apabila dihubungi polis pada jam 6.45 pagi semalam meminta hadir ke Hospital Slim River untuk membuat pengecaman jenazah anak. Sebelum kejadian, saya tidak tahu arwah mengikut rakannya pulang dari asrama atau menyertai program Konvoi Santai Anak Utara (SAU) 2019.

“Selepas kejadian, saya dimaklumkan arwah dia mahu buat kejutan sempena hari jadi saya. Sempat dia beli kek (di Bandar Bukit Sentosa) semalam sebelum kemalangan berlaku,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung, di sini sejurus selesai pengebumian anaknya petang tadi.

Allahyarham Nurul Insyirah Ab Aliyasak.

Bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Buaya, Zaahani reda dengan tragedi menimpa anaknya yang berlaku sehari sebelum sambutan hari jadinya.

Dalam kejadian jam 6 pagi semalam, Nurul Insyirah bersama rakannya, Muhammad Azam Abdullah, 15, meninggal dunia selepas motosikal dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas.

Zahaani berkata, arwah adalah anak ketiga daripada lima beradik yang dijaga olehnya selepas bercerai dengan bekas suami dua tahun lalu.

Jenazah Muhammad Azam dan Nurul Insyirah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung. - NSTP/Md Fuzi Abd Lateh

Berita Harian X