Sabtu, 9 November 2019 | 8:48pm
Sebuah banglo mewah di Jalan Kasawari, di sini diserbu petang tadi selepas disyaki dijadikan pusat operasi kegiatan perjudian dalam talian didalangi sindiket antarabangsa. - NSTP/Ihsan Pembaca
Sebuah banglo mewah di Jalan Kasawari, di sini diserbu petang tadi selepas disyaki dijadikan pusat operasi kegiatan perjudian dalam talian didalangi sindiket antarabangsa. - NSTP/Ihsan Pembaca

Banglo mewah pusat judi dalam talian diserbu

AMPANG JAYA: Sebuah banglo mewah di Jalan Kasawari, di sini diserbu petang tadi selepas disyaki dijadikan pusat operasi kegiatan perjudian dalam talian didalangi sindiket antarabangsa.

Dalam serbuan kira-kira jam 1.40 petang oleh Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, seramai 28 warga China, termasuk tiga wanita ditahan.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor, berkata ketika serbuan dilakukan, kesemua individu itu sedang leka menjalankan urus niaga judi dalam talian menggunakan telefon bimbit dan komputer riba.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua individu berusia antara 20 hingga 44 tahun itu bekerja sebagai pengendali urus niaga judi dalam talian di pusat operasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Azmi berkata, hasil pemeriksaan terhadap komputer riba dan telefon bimbit dirampas menemui pelbagai aplikasi dan laman sesawang judi dalam talian yang dikendalikan oleh sindiket berkenaan.

“Berdasarkan modus operandi digunakan, sindiket ini dipercayai aktif melakukan aktiviti judi dalam talian sejak dua bulan lalu dengan menjadikan kediaman mewah berkenaan sebagai pusat operasi,” katanya.

Katanya, polis turut merampas 25 komputer riba, 28 telefon pintar pelbagai jenama dan satu modem pelayar internet.

“Siasatan lanjut berhubung kes itu dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(G) akta sama.

“Kita menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perjudian dalam talian supaya tampil menyalurkan informasi kepada polis di mana-mana balai berhampiran,” katanya.

Berita Harian X