Sabtu, 9 November 2019 | 5:41pm
Seorang ibu bersama anak perempuannya maut, manakala dua lagi parah selepas kereta mereka dihempap sebuah lori pasir seberat 24 tan yang terbabas di Persiaran Kewajipan berhampiran susur keluar lebuh raya KESAS pagi tadi.

2 beranak maut, kereta dihempap lori pasir

SUBANG JAYA: Seorang wanita warga emas bersama anak perempuannya maut selepas kereta jenis Perodua MyVi dinaiki mereka dihempap sebuah lori pasir seberat 24 tan yang terbabas di Persiaran Kewajipan berhampiran susur keluar Lebuh raya Shah Alam (KESAS), di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Goh Liew Suan @ Goh Liew Swan, 70, yang duduk di tempat penumpang belakang dan anak perempuannya, Leong Mei Li, 48, yang duduk di tempat penumpang depan kereta berkenaan maut di lokasi kejadian.

Manakala, pemandu kereta yang berusia 36 tahun, dipercayai anggota keluarga mangsa dilaporkan patah kaki dan cedera pada tangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman, berkata sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 10.04 pagi.

Katanya, sebaik tiba, anggota bomba mendapati sebuah lori yang membawa muatan pasir terbalik dan menghempap sebuah kereta dinaiki tiga individu termasuk dua beranak berkenaan.

“Ketika itu, pasukan penyelamat mendapati seorang pemandu lori dan tiga lagi yang menaiki kereta berkenaan terperangkap dalam kenderaan masing-masing akibat tersepit.

“Pemandu lori yang cedera ringan diselamatkan dalam tempoh empat minit manakala wanita yang memandu Perodua Myvi mengalami kecederaan parah diselamatkan lima minit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, usaha mengeluarkan dua penumpang kereta berkenaan mengambil masa berikutan lama kerana bomba terpaksa menunggu kedatangan kren bagi mengangkat lori berkenaan.

Katanya, sebaik kedua-dua penumpang kereta berkenaan dikeluarkan, mangsa disahkan sudah meninggal dunia akibat kecederaan parah dialami.

“Pemandu lori serta Perodua Myvi terbabit dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut manakala mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, sumber memberitahu BH, lori berkenaan dipercayai mengalami masalah brek, menyebabkannya pemandunya hilang kawalan sebelum kenderaan berat itu merempuh belakang sebuah van dan terbalik, seterusnya menghempap kereta dinaiki mangsa bersama muatan pasir dan sisa simen.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, pemandu lori turut ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan. Malah, ujian alkohol dan dadah akan turut dijalankan bagi mengenal pasti keadaannya ketika mengendalikan kenderaan berat itu.

“Perintah reman ke atas pemandu terbabit akan dimohon di Mahkamah Petaling Jaya esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X