Sabtu, 9 November 2019 | 5:37pm
Kematian Muhammad Aimin dipercayai akibat cemburu sehingga tercetusnya pergaduhan.

Cemburu punca kematian Muhammad Aimin

KUANTAN: Kematian pelajar tahfiz, Muhammad Aimin Nurul Amin, 7, kelmarin, dipercayai akibat cemburu sehingga tercetusnya pergaduhan.

Ini kerana mangsa yang juga pelajar paling muda dan bersikap manja dengan pasangan suami isteri yang juga pentadbir pusat terbabit, dipercayai menimbulkan perasaan cemburu dalam kalangan pelajar lain.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan, berkata keadaan itu kemudian menjadi punca pergaduhan antara suspek dan mangsa, menyebabkan mangsa dipercayai dipukul.

“Akibat cemburu dengan mangsa yang agak mesra dan manja dengan pentadbir pusat tahfiz yang juga suami isteri, berlaku pergaduhan antara mereka yang akhirnya membawa kepada kematian mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Muhammad Aimin disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lanchang, Temerloh, kira-kira jam 2 petang kelmarin selepas ditemui dalam keadaan lemah oleh warden asrama.

Terdapat beberapa kesan lebam di bahagian badan mangsa dipercayai dipukul. Susulan itu, tiga pelajar berusia 13 tahun di pusat tahfiz terbabit termasuk abang tiri mangsa ditahan reman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan.

Abdul Jalil berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa semalam mendapati terdapat impak di bahagian dada dan abdomen mangsa.

“Terdapat kesan trauma pada bahagian dada dan abdomen mangsa oleh impak dengan permukaan atau objek tumpul dan keras.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

Berita Harian X