Sabtu, 9 November 2019 | 5:04pm
Mayat Siti Halimah ditemui dalam keadaan tertiarap oleh menantu lelakinya yang terus memaklumkan pihak polis. - NSTP/Mohd Shukor Amin
Mayat Siti Halimah ditemui dalam keadaan tertiarap oleh menantu lelakinya yang terus memaklumkan pihak polis. - NSTP/Mohd Shukor Amin

Meninggal dunia di hadapan bilik air

SUNGAI BESAR: Seorang warga emas yang tinggal sendirian di Parit 2 Timur di sini, ditemui meninggal dunia di hadapan bilik air kediamannya, petang semalam.

Mayat Siti Halimah Salleh, 71, ditemui dalam keadaan tertiarap oleh menantu lelakinya yang terus memaklumkan pihak polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon, berkata mangsa mempunyai tiga anak yang menetap di luar daerah.

“Seorang anaknya tinggal di Johor manakala dua lagi menetap di Klang.

“Kebiasaannya anak-anak mangsa menziarahi ibu mereka pada hujung minggu serta cuti umum,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Chee Khoon berkata, seorang anak mangsa memberitahu ibunya kerap mendapatkan rawatan berikutan masalah tekanan darah rendah di Klinik Sungai Besar sejak tiga tahun lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati tiada kecederaan dan polis tidak menemui sebarang senjata berbahaya.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Berita Harian X