Sabtu, 9 November 2019 | 3:57pm

Nasib pemandu bas diketahui Isnin ini

GEORGETOWN: Nasib pemandu bas yang merempuh motosikal hingga menyebabkan seorang pelajar maut, Khamis lalu akan diketahui Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan, berkata kertas siasatan bagi kes itu akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwaraya pada Isnin ini untuk tindakan lanjut.

Katanya, pemandu berusia 49 tahun itu masih dalam tahanan reman.

“Tindakan seterusnya sama ada akan tuduh atau bebas dengan jaminan, hanya akan dibuat selepas mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya.

“Sehingga kini suspek masih lagi ditahan untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Mahkamah Majistret Balik Pulau membenarkan perintah reman selama dua hari ke atas pemandu berkenaan bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, Anbalagan memberitahu hasil ujian saringan awal terhadap lelaki itu mendapati dia positif methamphetamine, selain tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, Muhammad Saifullah Muhammad Hafeiz, 16, meninggal dunia selepas dirempuh bas di Jalan Dato Ismail Hasyim, Bayan Lepas.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ara yang juga bekerja sambilan di restoran piza itu dikatakan dalam perjalanan menghantar pesanan kepada pelanggan.

Jenazah Muhammad Saifullah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Al-Mustaghfirin, Sungai Tiram, Bayan Lepas, pagi semalam.

Berita Harian X