Sabtu, 9 November 2019 | 3:53pm
Keadaan motosikal dua pelajar terlibat dalam kemalangan di Kilometer 383 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS). - NSTP/Ihsan PDRM

2 remaja sertai konvoi motosikal maut nahas

BEHRANG: Dua remaja yang sedang berkonvoi bersama 12 rakan untuk menyertai Program Santai Anak Utara 2019 (SAU2019) di Meru dekat sini, maut selepas motosikal mereka terbabas di Kilometer 383 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini, hari ini.

Muhammad Azam Abdullah, 15, dan Nurul Insyirah Ab Aliyasok, 14, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah beberapa bahagian badan dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu.

Difahamkan, kedua-dua mangsa dari Selangor itu yang menaiki motosikal jenis Yamaha Lagenda menyertai konvoi berkenaan untuk menyertai SAU2019 di Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru.

Muhammad Azam adalah murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sentosa, Hulu Selangor yang sedang menunggu keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), manakala Nurul Insyirah murid Tingkatan Dua SMK Agama Tun Rahah, Sabak Bernam.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata siasatan awal pihaknya mendapati motosikal dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum terbabas lalu melanggar penghadang jalan sebelah kiri.

“Siasatan setakat ini juga mendapati penunggang motosikal tidak mempunyai lesen memandu dan masih bersekolah,” katanya ketika dihubungi.

Wan kamarul berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X