Sabtu, 9 November 2019 | 1:45pm

Guru hamil 37 minggu cedera ditikam suami

PUTRAJAYA: Seorang guru wanita yang hamil 37 minggu cedera di beberapa bahagian badan selepas ditikam suaminya di kediaman pasangan berkenaan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun terbabit terpaksa memandu sendiri dari rumahnya di Presint 9 di sini walaupun cedera bagi mendapat kecemasan di Hospital Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan, berkata mangsa mengalami pendarahan akibat luka hirisan di jari kiri, lengan kanan, dua kesan hirisan di perut dan luka di belakang badan.

Beliau berkata, mangsa mengadu sakit di perut dan bimbang dengan keadaan kandungannya sebelum dirujuk ke Jabatan Obstetrik dan Ginekologi serta Ortopedik untuk rawatan lanjut.

“Mangsa melahirkan bayi lelaki menerusi pembedahan dan keadaan ibu bersama anak dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rosly berkata, suami mangsa berusia 39 tahun yang bekerja sebagai jurutera audio sudah ditahan di kediamannya semalam.

Katanya, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan pemeriksaan mendapati suspek tiada rekod jenayah.

“Suspek direman sehingga Jumaat ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X