Jumaat, 8 November 2019 | 3:23pm

Padah curi duit derma tabung masjid

SARIKEI: Tiga remaja lelaki ditahan selepas didapati mencuri duit derma tabung masjid di Kampung Seberang, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Awang Arfian Awang Bujang, berkata ketiga-tiga suspek berusia 14 hingga 16 tahun itu ditahan selepas lima hari melakukan perbuatan itu, sejurus identiti mereka dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan.

“Perbuatan mereka dirakam CCTV dan suspek didapati memasuki masjid dengan membuka tingkap di bahagian atas. Apabila berjaya memasuki masjid, suspek terus memotong mangga kunci tabung yang diletakkan di tepi pintu masuk sebelum melarikan wang derma,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Awang Arfian berkata, dua daripada suspek yang ditahan masih bersekolah, manakala rakan mereka tidak lagi bersekolah.

“Kejadian itu disedari seorang lelaki yang ingin menunaikan solat pada jam 3.45 pagi sebelum melaporkannya kepada polis.

“Duit tabung berjumlah RM600 didapati hilang. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X