Jumaat, 8 November 2019 | 9:29am

Pelajar tahfiz maut dipercayai didera

TEMERLOH: Seorang pelajar sebuah Maahad Tahfiz di Lanchang di sini yang dipercayai didera, meninggal dunia tengah hari semalam semasa mendapat rawatan di sebuah klinik kesihatan.

Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, ditemui dalam keadaan lemah kira-kira jam 1 tengah hari oleh warden asrama yang membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Lanchang bagi mendapatkan rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Datuk Othman Nanyan, berkata siasatan awal ke atas fizikal mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada tubuh.

Katanya, tiga pelajar berusia 13 tahun di pusat tahfiz yang tidak berdaftar itu ditahan bagi membantu siasatan.

“Mohammad Aimin ditemui seorang wanita yang juga warden di situ, dalam keadaan lemah sebelum membawa mangsa ke klinik untuk rawatan, namun mangsa disahkan meninggal dunia di klinik terbabit.

“Mangsa belajar di pusat tahfiz itu bersama abang tirinya sejak pertengahan Oktober lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pusat tahfiz terbabit adalah sebuah rumah binaan batu yang dijadikan asrama tahfiz dan menempatkan empat orang pelajar termasuk mangsa.

“Tahfiz berkenaan didapati tidak mempunyai lesen daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan sudah beroperasi sejak Januari lalu.

“Wanita yang menemui mangsa adalah warden asrama dan bertugas di situ bersama suaminya yang juga tenaga pengajar,” katanya.


Nurul Amin Abdul Rahman, 36, berdoa di sebelah jenazah anaknya, Mohammad Aimin di Unit Perubatan Forensik Hospital Temerloh hari ini. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Nurul Amin Abdul Rahman, 36, dan isteri Hasmaliza Ahmad, 39, ketika menunggu jenazah anaknya, Mohammad Aimin di Unit Perubatan Forensik Hospital Temerloh hari ini. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Othman berkata siasatan masih dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Temerloh untuk bedah siasat hari ini.

Kematian Mohammad Aimin adalah yang terbaru dalam rentetan beberapa masalah membabitkan sekolah tahfiz sejak kebelakangan ini, sehingga mendorong masyarakat mempertikaikan pengurusan sekolah berkenaan.

Dua tahun lalu, berlaku kebakaran di sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur, di mana 21 pelajar dan dua tenaga pengajar terkorban.

Lima bulan sebelum itu, kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, mendorong orang ramai menggesa kerajaan memperketatkan peraturan membabitkan sekolah tahfiz di seluruh negara berikutan dakwaan mengatakan premis kebanyakan sekolah tahfiz tidak selamat dan pelajarnya menghadapi risiko dicabul atau didera.

Laporan forensik menunjukkan Thafiq dimasukkan ke hospital kerana cedera di kaki akibat dipukul menggunakan hos getah oleh warden sekolah dan seterusnya menemui ajal akibat jangkitan leptospirosis.

Seterusnya, pada 21 Oktober lalu, keputusan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, untuk tidak mendakwa suspek kes pencabulan seksual membabitkan pelajar sekolah tahfiz mengundang teguran aktivis masyarakat.

Kes berkenaan membabitkan seorang pelajar berusia 10 tahun yang mendakwa dicabul tiga pelajar senior berusia antara 12 hingga 18 tahun di sebuah sekolah tahfiz di Manjoi, dekat Ipoh, Perak. Tommy menjelaskan, tidak cukup bukti bagi mendakwa mereka.

Nurul Amin Abdul Rahman, 36, dan isteri Hasmaliza Ahmad, 39, sugul ketika menunggu jenazah anaknya, Mohammad Aimin di Unit Perubatan Forensik Hospital Temerloh hari ini. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Berita Harian X